Dalam kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan. Semoga penghayatan kita dalam ibadah puasa tahun ini lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya.
Seperti yang kita sedia maklum, perintah berpuasa disyariatkan menurut firman Allah dalam surah AlBaqarah ayat 183 hingga 188. Orang beriman diwajibkan berpuasa sepertimana orang-orang sebelum mereka sebagai tanda mereka bertakwa.
Ibadah puasa atau dalam bahasa arab "saum" bermaksud menahan diri, yang difahami oleh orang awam kebanyakan kelihatan seakan berlegar sekadar kefahaman ritualistik. Niat, sahur, tidak makan dan minum serta mengelak perkara membatalkan puasa dari terbit fajar hingga tenggelam matahari, berbuka dengan buah tamar, kemudian solat sunat tarawikh berjemaah di masjid. Lebih kurang begitulah kefahaman orang awam tentang berpuasa. Dan ditambah lagi dengan amalan-amalan sunat lain.
Jarang yang bertanya apakah signifikannya perintah berpuasa hingga ia menjadi salah satu rukun dalam beragama Islam. Bagaimana dengan berpuasa itu hingga boleh menyebarkan Islam ke seluruh pelusuk dunia. Jarang yang ingin bertanya barangkali sudah diasuh sedemikian, jangan banyak bertanya, banyak bertanya maknanya mempersoal ustaz, mempersoal ustaz bermakna mempersoal agama, mempersoal agama berdosa nanti lemah iman. Maka diamlah semua orang malas dituduh lemah iman. Padahal persoalan ini penting supaya kita tidak melakukan ibadah sekadar mendapat lapar, dahaga dan penat.
Sepertimana rukun-rukun Islam yang lain, ia tidak terhenti dengan pengamalan ritual tetapi mesti dituruti dengan penghayatan yang sepenuh hati. Bersyahadah contohnya mengambil masa tidak sampai 10 saat untuk dilafaz, tetapi ia adalah satu bentuk deklarasi bahawa kita berlepas diri daripada sebarang bentuk perhambaan selain daripada menghambakan diri kepada Allah dan mengikut manhaj atau jalan sepertimana ditunjukkan Nabi Muhammad sebagai Rasulullah. Ini deklarasi kita kepada Allah yang sepatutnya menjadi prinsip hidup bukan sekadar lafaz tetapi tidak tahu apa dia. Kesimpulan, bersyahadah bukan sekadar ritual tetapi mesti datang dengan penghayatan seumur hidup. Syahadah sebenarnya perjuangan seumur hidup membebaskan manusia daripada sistem perhambaan sesama manusia.
Begitu juga dengan rukun Islam yang seterusnya - solat. Solat ialah tiang agama. Barangsiapa yang bersolat maka dia menegakkan agama. Itu berkenaan ritualnya, bagaimana pula dengan penghayatannya. Solat sebenarnya satu manifesto kita ke hadapan Allah bahawa solat, ibadah, hidup dan mati semata-mata hanya kerana Allah seperti yang dilafaz dalam doa ifitifah. Begitu juga dengan alFatihah, ia adalah janji orang beriman kepada Allah bahawa org beriman akan berusaha menegakkan sistem Islam dalam segala cara dan kapasiti yang mereka ada. Sebab itu solat tidak sah kalau tidak membaca alFAtihah, kerana itu ikrar orang beriman kepada Allah. Dan sebab itu solat berjemaah lebih baik daripada solat berseorangan, kerana tugas menegakkan agama perlukan kerjasama / co-operation semua orang beriman, bukan kerja syok sorang-sorang seperti rambo. Berdasarkan penjelasan ini, solat bukan semata-mata untuk tenang hati atau nak collect point masuk syurga, tetapi sebenarnya satu perbarisan orang beriman kepada Allah dan melafazkan ikrar dan janji kepadaNya.
Baik, kita sampai kepada ibadah puasa. Secara ritualnya semua orang sudah faham bagaimana melaksanakannya. Dari segi penghayatan, puasa melatih orang beriman supaya memberikan priority kepada apa yang Allah hendak / perintahkan. Apabila telah selesai dalam jangkamasa / dateline ditetapkan, maka barulah boleh menunaikan kehendak peribadi. Selesaikan dulu apa Allah nak, bila dah selesai barulah bersurai / berehat. Secara ritual, orang beriman digalakkan membaca AlQuran, banyakkan berzikir dan solat sunat. Penghayatan sebenar ialah, orang beriman digalakkan explore ilmu-ilmu dalam AlQuran untuk dipraktikkan, bukan sekadar baca-baca untuk pahala huruf. Kemudian orang beriman mesti memastikan kehadiran hukum Allah di mana saja (dalam platform / wadah mana pun) mereka berada atas muka bumi (erti sebenar berzikir).
Kita mesti berlepas diri daripada pengamalan ibadah yang cuma terhenti dalam bentuk ritual tetapi tidak ada penghayatan. Secara peribadi saya melihat orang yang cuma berlegar-legar dengan amalan ritual tanpa penghayatan sebenarnya belum merdeka dari segi mindset yang didoktrin oleh penjajah British. Pada zaman sebelum merdeka, Islam yang difahami oleh orang Melayu cuma berlegar dalam adat istiadat orang Melayu (termasuk baca yasin, baca talkin) dan agama "Islam istana" raja-raja Melayu. Islam yang tidak ada kaitan dengan pentadbiran negara atau sistem cara hidup yang syumul. Itulah kefahaman agama yang diwarisi hingga sekarang walaupun dari segi luaran kelihatan negara sudah "merdeka dengan beberapa syarat dikenakan oleh British".
No comments:
Post a Comment