DI MANAKAH LETAKNYA KEKUATAN?
Oleh: Kassim Ahmad
11 Ogos, 2010
Kebanyakan orang menghubungkan kekuatan dengan bilangan yang banyak. Pepatah “Bersatu kita kukuh; bercerai kita runtuh” tidak benar dalam semua kes, dan bilangan yang banyak tidak semestinya kuat. Lihat orang Yahudi. Mereka tidak ramai, tetapi mereka kuat dan maju. Dari segi bilangan, China dan India mempunyai penduduk yang teramai dalam dunia, tetapi kedua-duanya tidak boleh mengatasi Amerika Syarikat sekarang. Dari segi bilangan anggota, UMNO, sebagai sebuah parti politik, mempunyai anggota yang teramai, tetapi, seperti yang kita tahu, ia kalah di banyak negeri dalam pilihanraya umum ke-12.
Jadi, di manakah duduknya kekuatan? Quran memberitahu kita bahawa bilangan yang kecil boleh mengalahkan bilangan yang besar dalam peperangan. Pada zaman dulu, kita tahu dari sejarah, seorang pemuda bani Israil bernama Daud mengalahkan seorang wira dan gergasi dari bangsa Filistin bernama Goliat dalam perlawan seorang sama seorang. Malah, Quran memberithau kita bahawa kebenaran kerapkali berada di pihak minoriti. (43: 78) Golongan minoriti yang dimaksudkan oleh Quran itu, termasuk Daud yang mengalahkan Goliat – mereka menang kerana Tuhan berada di pihak mereka. Di sinilahlah letaknya kekuatan, sepertu firman Tuhan: “Kekuatan milik Tuhan sepenuhnya.” ( Quran, 10: 65)
Dari segi realitinya, apakah makna ayat suci di atas? Maknanya, apabila sesuatu bangsa atau kumpulan berpegang kepada dan mengamalkan falsafah yang berpunca dari ajaran Tuhan dalam kitab-kitab sucinya, mereka memiliki kekuatan, walaupun bilangan mereka kecil dibanding dengan bangsa-bangsa atau kumpulan-kumpulan lain.
Mengapakah Amerika Syarikat yang mengistiharkan dirinya merdeka dan bebas dari kekuasaan Britain pada 4 Julai, 1774 (234 tahun dulu) berkembang menjadi kuasa terbesar hari ini? Adakah kerana kebetulan ia mempunyai pasukan bersenjata yang terkuat di dunia? Atau kerana ia mempraktikkan kebenaran Ilahi dalam kehidupan kolektifnya? Sudahkah ia mencapai kemuncaknya dan sekarang sedang menurun dan akan runtuh, seperti empayar-empayar sebelumnya, termasuk empayar-empayar Parsi, Romawi, Arab, dan Inggeris?
Naik-turunnya sesebuah empayar itu suatu cerita besar yang tersendiri. Quran memberitahu kita bahawa apabila sesuatu bangsa atau empayar itu bertindak zalim terhadap rakyatnya atau terhadap bangsa-bangsa lain di bawah kekuasaannya, maka ia akan musnah. Ini undang-undang alam, atau sunnatullah. Tiada siapa boleh mengelaknya. Tuhan berkuasa untuk menggantikan bangsa-bangsa yang zalim dengan bangsa-bangsa lain. Seperti kata pepatah, patah tumbuh, hilang berganti. Tamadun Yunani-Romawi telah digantikan oleh tamadun Arab-Islam, kemudian diambil-alih oleh tamadun Eropah (termasuk Amerika Syarikat), yang sekarang meliputi seluruh dunia. Tamadun ini juga sedang runtuh. Sesetengah penganalisis politik menjangka China akan mengmabil-alih tempat itu. Mengapa tidak umat Islam, yang didakwa oleh mereka sendiri berpegang kepada ajaran Tuhan?
Berbalik kepada Eropah dan Amerika Syarikat, banyak daripada ajaran yang terkandung dalam Quran, mereka yang mengamalkannya, walaupun kebanyakan rakyat mereka beragama Kristian. Contohnya, mereka mengutamakan ilmu pengetahun (sains dan teknologi). Mereka mengamalkan kebebasan berfikir. (Oleh sebab itu ramai sarjana Islam berhijrah ke Eropah atau Amerika.) Mereka mengamalkan pemerintahan yang berdasarkan perundingan, persis seperti yang diajar dalam Quran, sedangkan kebanykan umat Islam hidup di bawah kerajaan-kerajaan yang bersifat autokratik. Mereka mengutamakan kebersihan. Mereka bekerja dengan tekun dan rajin. Oleh sebab itu, negara-negara ini berjaya dan maju, berbeza dengan kebanyakan umat Islam, yang Islamnya lebih pada nama daripada praktik.
Saya telah menulis tentang pentingnya kepimpinan yang baik. Kita memiliki sebuah buku panduan yang terbaik di dunia, iaitu Quran, tetapi, malangnya, kitab itu tertutup bagi kebanyakan orang Islam. Bukan kerana bahasa Quran itu bahasa Arab (kita ada banyak terjemahan Quran dalam bahasa Melayu dan Inggeris yang kita faham). Adat kita melagukan Quran. Maknanya kita tidak tahu, kerana kita tidak membaca dan cuba memahaminya dalam bahasa Melayu atau Inggeris. Akibatnya, kita ikut kitab-kitab lain, selain daripada Quran! Ringkasnya, kita jatuh, kerana Tuhan tidak memilh kasih. Tuhan tidak peduli siapa nama kita, Ahmad, atau Chong, atau Munusamy atau John! Siapa yang praktik ajaran-ajaran-Nya, itulah orang atau bangsa yang Dia tolong.
Sesetengah pemimpin UMNO mendabik dada, kerana ahli-ahli UMNO melebihi tiga juta. Seperti yang telah saya katakan, bilangan ramai tidak penting. Yang penting ialah falsafah perjuangan mereka dan praktik politik mereka. Jika mereka bertindak sebagai golongan oligarki yang menindas rakyat, mereka akan digantikan. Amaran ini telah diberi oeh Tuhan Sendiri. Amaran ini berlaku kepada semua kumpulan dan bangsa. Tiada siapa yang boleh mengelaknya. Dengan itu, Pakatan Rakyat yang telah diberi kuasa di sesetengah negeri dalam Malaysia, jangan sombong. Jangan sekali-kali berlaku zalim. Hari ini kita naik; besok kita boleh jatuh!
No comments:
Post a Comment