Usah terlalu eksklusif dalam persoalan agama
Oleh MOHD. SHAUKI ABD MAJID
KEPUTUSAN sebulat suara mufti agar menggantikan perkataan 'agama' kepada Jawatankuasa Perhubungan Antara Kaum memperlihatkan aliran pemikiran terlalu eksklusif apabila mengehadkan persoalan agama Islam itu kepada kuasa penjaganya sahaja.
Kedinamikan agama tidak dilihat sebagai sesuatu yang sentiasa berkembang dan memerlukan pendekatan baru, malah memperhitungkan tidak perlu dilakukan perbincangan bagi membolehkan persefahaman yang lebih baik diambil oleh masyarakat berlainan agama.
Sandaran pendapat sedemikian sebenarnya merugikan Islam sendiri. Ini kerana golongan bukan Islam seolah-olah tidak dibolehkan berbincang secara terbuka, manakala orang Islam tidak digalakkan untuk memahami agama lain kerana dikhuatiri akan menimbulkan kesan negatif. Wawasan sempit itu sebenarnya sedang berusaha menjadikan kehidupan masyarakat pelbagai agama semakin sulit dan menambahkan lagi salah faham terhadap Islam.
Islam yang menekankan pembinaan peribadi mulia amat menyanjung tinggi perbuatan baik, jujur dan tinggi nilai kemanusiaannya. Islam melarang keras penganutnya bersikap bongkak serta terlalu menonjolkan diri dan kerana itulah kita sentiasa diminta untuk bertindak secara sederhana dan penuh berhemah.
Meskipun manusia dilahirkan secara semula jadinya berbeza sifat, sikap dan pemikiran, setiap daripadanya sentiasa berada dalam keadaan beruntung jika saling kenal mengenali, saling memahami dan bekerjasama dalam banyak perkara, melainkan dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan pelanggaran akidah.
Hasrat kerajaan menubuhkan jawatankuasa kerjasama atau perhubungan antara agama bukanlah satu petanda untuk menyamakan taraf dan kedudukan agama-agama lain sehingga boleh disifatkan bercanggah dengan Perlembagaan.
Jawatankuasa Perhubungan Antara Agama sebenarnya lebih merupakan Jawatankuasa Khas Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Di Antara Agama, kerana dalam dekad pertama abad ke-21 ini, terlalu jarang adanya perbincangan antara kumpulan agama mencari kata sepakat mengenai sesuatu isu untuk faedah bersama.
Islam yang mengakui hakikat perbezaan manusia dari segi ras, kepercayaan dan pegangan sentiasa menyebarkan semangat berbaik sangka, tidak memperolok-olokkan sesuatu kaum yang lain selagi kaum itu menghormati hak dan peraturan Islam.
Maka dengan itu, penubuhan jawatankuasa keharmonian antara agama ini boleh membantu kerajaan memperoleh maklumat dan idea bagaimana untuk merumuskan sesuatu dasar dan tindakan, selagi maklum balas itu bukanlah merupakan desakan untuk mengubah perspektif undang-undang dan akidah orang Islam. Ia mungkin desakan untuk membetulkan sesuatu tindakan dalam pelaksanaan sesuatu dasar yang diputuskan secara sah dan berperlembagaan.
Mungkin jika Jawatankuasa Perhubungan Antara Agama boleh berbincang dan cuba memahami keperluan orang Islam melaungkan azan subuh menjelang awal pagi, jadi ia akan membolehkan bukan Islam memahami dan sedar bahawa betapa segarnya mental dan pemikiran seseorang tatkala fajar pagi.
Dalam kedinginan itulah, kita seharusnya memulakan langkah mencari rezeki, kerana burung-burung turut berkicau keluar dari sarangnya, dan ketika itulah sumber makanan turut menjengah sinar matahari.
Reaksi menolak penubuhan jawatankuasa itu sebenarnya turut mengundang perspektif keliru apabila mengandaikan bahawa adalah tidak wajar membicarakan isu-isu yang berkaitan dengan Islam dengan masyarakat bukan Islam kerana dikhuatiri akan menambahkan lagi saratnya percikan prasangka. Walaupun telah dijawab oleh Timbalan Perdana Menteri bahawa jawatankuasa itu tidak akan membincangkan perkara-perkara tuntutan agama, sebaliknya ia adalah satu ruang kepada semua pihak untuk berbincang dan berusaha memperkukuhkan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.
Maknanya ruang lingkup atau terma rujukan jawatankuasa tersebut bukanlah berbincang mengenai hal ehwal agama secara prinsipnya. Jawatankuasa itu hanyalah berbincang, bertukar-tukar pendapat dan berkongsi pengetahuan mengenai kaedah hidup bermasyarakat.
Jawatankuasa itu cuba mencari dan mengapungkan nilai-nilai yang dapat diterima bersama oleh seluruh masyarakat pelbagai kaum. Saranan dan cadangan yang diperoleh itu akan dikemukakan ke peringkat seterusnya untuk dipertimbangkan. Ia adalah sebuah platform untuk membentuk persefahaman dan keharmonian antara kaum, kerana ia adalah proses saling kenal mengenali.
Seperti kata peribahasa Melayu, tak kenal maka tak cinta, maka penubuhan jawatankuasa ini adalah untuk mendekatkan jarak yang boleh menjadikan setiap kaum saling kenal mengenal. Ia bukanlah satu perkara yang tidak pernah dilakukan sebelumnya.
Apa yang harapkan pertemuan dan perbincangan ini harus dilakukan dengan penuh keikhlasan supaya dapat mencari titik pertemuan dalam membincangkan soal keagamaan. Dalam hal ini, juga mereka digesa meletakkan kepatuhan sepenuh kepada Perlembagaan Persekutuan khususnya yang berkaitan dengan soal agama. Demikian juga segala pandangan yang bersifat ekstrem harus dihindari bagi mencapai matlamat penubuhan jawatankuasa ini.
Penulis ialah Pengurus Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (Yadim).
No comments:
Post a Comment