Friday, April 23, 2010

Komen tentang: Tudung: Bukan Islam tak salah

====================

Komen: Secara keseluruhan, saya bersetuju dengan artikel di bawah (petikan dari Utusan Malaysia). The blame is on umat Islam themselves for not understanding their own religion by reading AlQuran. Agama main ikut2 cakap orang tanpa usul periksa. Kefahaman Islam mesti berteraskan AlQuran. 

Perenggan yg pada saya paling menarik perhatian:

Perkembangan diskriminasi terhadap pekerja Muslim ini adalah rentetan daripada kelemahan umat Islam sendiri. Jika kita lihat budaya hidup umat Islam kini, terutama di Malaysia tidak ada banyak beza dengan bukan Islam.

Lelaki dan wanita Islam kini tidak lagi serius menjaga budaya dan amalan Islam, bermula daripada unit keluarga sehinggalah kepada skala masyarakat dan negara.  

Inilah namanya agama ikut-ikutan, agama tanpa usul periksa, agama keturunan semata-mata. Agama ikut2 cakap org mengaku ustaz. Bila org agama lain keluar hujah sikit dah gelabah takut keliru. Keliru memanjang aje. Sebab tak baca sendiri AlQuran. Diwarwarkan baca sendiri nanti jadi sesat. Padahal seluruh dunia ni ramai org yg convert to Islam selepas membaca AlQuran, bukan sebab tengok perangai umat yg lahir2 aje sudah mengaku Islam.

Tapi di Malaysia ni terbalik, yg mengaku umat Islam pun tidak menjadikan baca AlQuran sebagai agenda yg paling utama utk mencari kebenaran. Sebab tu masalah tak pernah-pernah selesai sebab bertindak ikut nafsu (kemahuan) peribadi, kononnya ia logik manusia.

====================

Tudung: Bukan Islam tak salah


SAYA amat tertarik dengan tulisan Hyena dari Negeri Sembilan yang mempertahankan syariat Islam bertudung daripada 'digadai ganti' oleh tawaran pekerjaan.
Dalam tulisannya di ruangan ini 20 April lalu, beliau meluahkan kesedihan betapa sukarnya mendapat pekerjaan hanya kerana beliau bertudung.
Beginilah di akhir zaman apabila kedudukan umat Islam cukup lemah, sehinggakan amalan wajib yang kita amalkan sudah berani 'ditawar menawar' oleh pihak-pihak lain atas alasan mencari pekerjaan.
Jika kita lihat daripada sudut liberalisasi hak, pihak majikan tersebut menganggap ini suatu lumrah atau 'normal', sedangkan daripada segi hukum dan hak umat Islam ia adalah satu bentuk diskriminasi dan penghinaan terhadap amalan syariat.
Saya berpendapat hal ini tidak boleh disalahkan seratus peratus kepada pihak bukan Islam atas beberapa sebab. Antaranya:
Lihatlah gelagat dan pemakaian umat Islam sendiri, terutamanya wanita-wanita Melayu sekarang. Pemakaian rata-rata wanita Melayu sekarang tidak lagi menggambarkan ciri-ciri menutup aurat dengan sempurna. Memakai tudung tetapi mengenakan seluar dan baju yang ketat, menampakkan belakang dan depan, menonjolkan bentuk tubuh badan yang lebih bersifat 'penggoda'.
Apabila pemakaian begini diamalkan oleh perempuan Melayu, golongan bukan Islam tidak memandang mulia dan melihat perbezaan aurat bertudung atau tidak.
Sebaliknya ia sama sahaja untuk menonjolkan kebolehan mengeksploitasi wajah dan tubuh badan wanita-wanita separa seksi ini bagi promosi perniagaan.
Selain itu amalan diskriminasi terhadap wanita bertudung juga disebabkan ada ramai wanita Muslim lain sanggup menerima peraturan membuka tudung atau melakukan perkara melanggar syarak lain untuk majikan bukan Islam tersebut. Jadi, majikan bukan Islam secara mudah membuat justifikasi perkara aurat ini hal remeh dan tidak penting.
Daripada sudut undang-undang pekerjaan di negara ini tidak jelas sama ada undang-undang khusus membela dan mempertahankan hak-hak pekerja Muslim, terutama di sektor swasta seperti hak bersolat, makanan halal di tempat kerja, menutup aurat bagi lelaki dan wanita serta tahap sosial persekitaran di tempat kerja yang dibenarkan oleh syariat Islam.

Sebagai contoh, jika majikan meletakkan seorang wanita dan seorang lelaki di dalam sebuah bilik tertutup, bagaimana undang-undang tersebut boleh membela hak pekerja Islam jika ia menolak tugasan tersebut.
Oleh itu, pihak berwajib melalui bantuan JAKIM boleh mewujudkan SOP (standard operating prosedures) untuk diguna pakai oleh majikan bukan Islam kepada pekerja Muslim supaya selaras dengan kehendak Islam.
Perkembangan diskriminasi terhadap pekerja Muslim ini adalah rentetan daripada kelemahan umat Islam sendiri. Jika kita lihat budaya hidup umat Islam kini, terutama di Malaysia tidak ada banyak beza dengan bukan Islam.
Lelaki dan wanita Islam kini tidak lagi serius menjaga budaya dan amalan Islam, bermula daripada unit keluarga sehinggalah kepada skala masyarakat dan negara.
Bergaul bebas lelaki dan perempuan sejak di usia sekolah lagi telah menjadi amalan biasa pada hari ini sehingga telah membiasakan masyarakat kita dengan seks bebas, akhirnya terbuanglah bayi-bayi tidak berdosa oleh manusia penzina lagi pembunuh ini.
Akibat ini juga, umat Islam dipandang jijik, lemah dan rendah oleh bukan Islam sama ada di Malaysia ataupun di mana sahaja, sudahlah lemah di dalam semua bidang keutamaan dunia, seperti penguasaan perniagaan, pencetus teknologi dan pembuatan, malah terjebak pula dengan perkara luar kemanusiaan dan kepelbagaian jenayah.
Oleh itu, diskriminasi yang berlaku pada pekerja Islam ini harus dipandang pada skop yang lebih luas, iaitu ia berpunca daripada sikap kita umat Islam sendiri yang lemah dan tidak kukuh pada ibadah dan budaya hidup Islam seperti yang dimajukan oleh sunnah melalui kitab al-Quran.
Rasulullah SAW juga telah meramalkan akan keadaan ini dan ia sudah semakin nyata, seperti yang sebuah hadis diriwayatkan oleh Thauban r.a., bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda, yang bermaksud setelah ditanya oleh para sahabat,
"Apakah ketika itu umat Islam telah lemah dan musuh sangat kuat?" Sabda Baginda SAW: "Tidak, Bahkan mereka pada masa itu lebih ramai, tetapi ibarat buih di laut yang menjadi tidak berguna lagi tidak digeruni."

Semoga kita mengambil iktibar dan tidak merebak menjadi parah.

Muhammad Azwan
Nibong Tebal, Pulau Pinang

No comments:

Related Posts with Thumbnails